PIJ Manufacturing Sdn Bhd (PIJ Manufacturing), anak syarikat milik penuh PIJ Holdings Sdn Bhd, menyasarkan untuk mencapai jualan sehingga RM2 juta bagi produk ekstrak aloe veranya iaitu Aloeshafy tahun hadapan.

Pengarah PIJ Manufacturing, Sharifah Suziana Syed Ali berkata, biarpun baharu dilancarkan, pihaknya yakin produk pertamanya itu capai sasaran dengan cara pemasaran melalui ejen dan stokis berdaftar.

“Untuk permulaan ini, kami fokus pada pasaran tempatan sebelum melangkah lebih lagi bagi meluaskan pasaran ke luar negara.

“Kami akui sudah ada permintaan untuk pasaran luar terutama apabila kami melakukan ekspo dan percubaan produk beberapa bulan lalu, tetapi kami akan lakukannya mengikut peringkat,” katanya.

Katanya, pelancaran produk Aloeshafy itu menjadikan syarikat yang pertama negara mengeluarkan ekstrak aloe vera ke pasaran tempatan dan luar negara.

“Kami memperkenalkan tiga produk baru Aloeshafy iaitu Jus Aloe Vera, siri produk kecantikan kulit Aloe Body Gel dan Beauty Set, di mana kesemua produk ini bantu kesihatan dalaman dan juga luaran.

“Harga Aloeshafy ini serendah RM59 sehingga RM160,” katanya.